Tuesday 24 March 2015

Personaliti dan ciri-ciri personaliti dalam diri guru

Personaliti Guru
Guru yang berkesan merupakan guru yang memiliki personaliti yang mampu membawa perubahan tingkah laku pelajarnya. Kekuatan personaliti memainkan peranan yang penting kerana ia dapat menarik perhatian pelajar. Personaliti yang menarik seperti peramah, mempunyai kawalan emosi yang mantap, penampilan, ketekunan dan dedikasi dalam melaksanakan tugas patut diamalkan oleh seseorang guru yang berkesan.
            Personaliti merujuk kepada keperibadian atau sahsiah diri. Perkataan personaliti adalah berasal daripada perkataan Latin yang memberi erti pesona. Mishel (1968) mendefinisikan personaliti sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan kemudian dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Allport (1961) berpendapat bahawa personaliti yang dinamik akan memberi ruang kepada perubahan yang positif yang bergantung rapat dengan keadaan fizikal seseorang. Apabila dikaitkan dengan Teori Tingkah Laku pula, personaliti seseorang merupakan hasil daripada apa yang sudah dimulakan dan segala yang telah dialami dalam hidup.
            Guru berkesan dapat dilihat apabila seseorang itu memiliki personaliti yang paling banyak dikaitkan dengan pencapaian pelajar. Abdul (2008) menyatakan bahawa Guru berkesan ialah pendidik yang baik dan mampu memberikan kesan dari segi personaliti dan membawa perubahan kepada tingkah laku kepada pelajarnya. Ciri personaliti yang biasanya dikaitkan dengan pencapaian pelajar ialah kemesraan dan sikap memahami seseorang guru. Selain ibu bapa, guru juga turut memainkan peranan dalam menjadi “role model” kepada pelajar bagi membentuk keperibadian yang mulia. Oleh itu, Fenstermacher & Ricchardson (2005) menyatakan bahawa hanya contoh-contoh sikap dan nilai positif  daripada guru sahaja yang diperlukan dalam usaha mempengaruhi tingkah laku pelajar untuk mempamerkan tingkah laku yang terpuji.
Selain itu, personaliti seorang guru juga dapat dilihat dari segi kualiti peribadi yang merangkumi sensitiviti, kesungguhan dan perasaan tanggungjawab (Karom :2010). Selain itu, seseorang guru yang memiliki personaliti perlulah sentiasa bertenaga, berkeyakinan tinggi, kebolehan bekerja dengan orang ramai. Hal ini demikian kerana, bidang perguruan meliputi semua organisasi pentadbiran di sekolah, jadi sebagai seorang guru kita tidak boleh bekerja dengan kehendak hati sendiri. Guru juga mestilah mempunyai nilai komitmen yang tinggi dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Contohnya, guru boleh mengadakan kelas tambahan, membuat soalan latih tubi untuk pelajar, dan mengadakan program motivasi.
            Dari segi penampilan juga merupakan aspek yang sangat penting dalam membentuk personaliti seorang guru. Dalam aspek penampilan, guru mesti menekankan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri. (Melville & Cardinal 2000). Sebaliknya jika penampilan guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan keterlaluan akan menyebabkan tumpuan pelajar terganggu (Mok 2006). Jika sekiranya seseorang guru tidak mementingkan penampilan diri, pelajar akan beranggapan bahawa guru tersebut bersikap pemalas dan sekali gus tidak mencerminkan sifat seorang guru yang berkesan. Malahan ini akan menyebabkan pelajar akan berfikiran negatif terhadap gurunya dan memberi gambaran bahawa isi pelajaran  juga tidak berkualiti (Mok 2004). Kekemasan seseorang guru juga bukan sahaja mampu menarik minat pelajar tetapi ia memberi ketenangan kepada pelajar sekali gus mereka akan rasa ketenangan apabila melihat penampilan diri guru.
            Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri-ciri yang dapat mempamerkan nilai personaliti dalam diri seorang guru. Oleh itu, guru juga mestilah mengamalkan nilai-nilai yang positif supaya mampu memberi contoh yang terbaik kepada pelajar.


No comments:

Post a Comment