Friday 27 March 2015

PROGRAM BERSAMA PELAJAR TINGKATAN 3

Saya dan rakan praktikal yang lain telah diberikan satu tanggungjawab untuk melaksanakan satu program bersama dengan pelajar tingkatan 3. Program ini perlu dijalankan kerana ingin memberi motivasi dan semangat kepada pelajar-pelajar yang baru sahaja selesai Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sebelum melaksankan program tersebut, kami telah merancang beberapa aktiviti kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini. Antaranya ialah "Ice Breaking" atau pembahagian kumpulan dan mencipta sorakan bagi setiap kumpulan. 

Tiba hari kejadian , kami tidak menyangka bahawa sambutan begitu menggalakkan kerana pada kebiasaannya pelajar-pelajar tidak berminat untuk hadir ke sekolah selepas peperiksaan .  Kami telah membahagikan pelajar-pelajar tersebut kepada beberapa kumpulan dan mengarahkan mereka melakukan aktiviti yang disediakan. Program sebegini sewajarnya dijalankan kerana ingin melatih pelajar untuk berani tampil di khalayak ramai. Selain itu, pelajar juga dapat menunjukkan kreativiti dan inovasi dalam diri setiap pelajar. 

Dengan ini, saya muatkan sedikit gambar tentang aktiviti yang telah dilakukan oleh beberapa kumpulan pelajar.  





Etika Pemakaian Guru

Maksud Etika Profesional
Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.
Skop Etika Profesional 
1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
3. Etika Perguruan bermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar.

Kepentingan Etika Guru


Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana:

1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan.
 – Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain.
 – Guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. 
-Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi.
 – Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi.
 – Pengamalan etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan antara ahli dalam organisasi.

Contoh etika pemakaian guru yang betul:


Oleh itu, sebagai bakal guru kita mestilah mengikuti setiap etika-etika yang telah ditetapkan supaya nilai profesion perguruan terserlah dalam diri kita semua . :)



Pembentangan Seminar Pembangunan Profesional dan Pengamal Refleksi

Pada 28 Mac 2015, saya bersama ahli kumpulan 1 dan 2 dikehendaki membentang seminar yang bertajuk "Pembangunan Profesional dan Pengamal Refleksi". Saya telah mendapat tajuk Personaliti, iaitu pecahan kepada tajuk di bawah pembangunan profesional. Personaliti merupakan salah satu daripada ciri penting yang perlu ada dalam diri guru sekiranya ingin menjadi guru yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Berikut merupakan slide pembentangan saya:







Selebihnya, saya menceritakan atau mengaitkan perihal sepanjang saya menjalani Latihan Praktikum di SMK Seri Manjung.

Terima Kasih.. selamat menbaca. :)









Wednesday 25 March 2015

Penglibatan dalam Program Sepanjang Menjalani Latihan Mengajar.

Assalamualaikum...

Hari ini saya akan mencoretkan segala pengalaman berkaitan dengan program yang saya sertai di SMK Seri Manjung. Sepanjang saya menjalani latihan mengajar di sekolah tersebut, terdapat pelbagai program yang telah dianjurkan oleh sekolah. Saya berpendapat bahawa ini merupakan peluang terbaik saya untuk mengikuti segala aktiviti bagi menambah pengalaman. Saya masih ingat terdapat banyak program yang saya sertai bersama rakan sepraktikum yang lain. Berdasarkan program-program tersebut, saya telah ditugaskan untuk menjadi ajk-ajk kecil. Walaupun jawatan yang dipegang tidak begitu besar, namun saya bersyukur telah diberi peluang dan kepercayaan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Berikut merupakan program-program yang telah saya sertai dan memegang beberapa jawatankuasa.


Menjadi pengacara majlis bagi Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan

Program Mentor Mante

Anugerah Pra Graduasi dan Anugerah Kokorikulum peringkat sekolah
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014.


Menjadi urusetia bagi Program Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Negeri Perak

Terima kasih kepada semua warga SMK Seri Manjung kerana sudi memberi kerjasama dan semangat berpasukan yang baik. Tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar yang cikgu sayangi. Terima Kasih :)

Tuesday 24 March 2015

Personaliti dan ciri-ciri personaliti dalam diri guru

Personaliti Guru
Guru yang berkesan merupakan guru yang memiliki personaliti yang mampu membawa perubahan tingkah laku pelajarnya. Kekuatan personaliti memainkan peranan yang penting kerana ia dapat menarik perhatian pelajar. Personaliti yang menarik seperti peramah, mempunyai kawalan emosi yang mantap, penampilan, ketekunan dan dedikasi dalam melaksanakan tugas patut diamalkan oleh seseorang guru yang berkesan.
            Personaliti merujuk kepada keperibadian atau sahsiah diri. Perkataan personaliti adalah berasal daripada perkataan Latin yang memberi erti pesona. Mishel (1968) mendefinisikan personaliti sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan kemudian dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Allport (1961) berpendapat bahawa personaliti yang dinamik akan memberi ruang kepada perubahan yang positif yang bergantung rapat dengan keadaan fizikal seseorang. Apabila dikaitkan dengan Teori Tingkah Laku pula, personaliti seseorang merupakan hasil daripada apa yang sudah dimulakan dan segala yang telah dialami dalam hidup.
            Guru berkesan dapat dilihat apabila seseorang itu memiliki personaliti yang paling banyak dikaitkan dengan pencapaian pelajar. Abdul (2008) menyatakan bahawa Guru berkesan ialah pendidik yang baik dan mampu memberikan kesan dari segi personaliti dan membawa perubahan kepada tingkah laku kepada pelajarnya. Ciri personaliti yang biasanya dikaitkan dengan pencapaian pelajar ialah kemesraan dan sikap memahami seseorang guru. Selain ibu bapa, guru juga turut memainkan peranan dalam menjadi “role model” kepada pelajar bagi membentuk keperibadian yang mulia. Oleh itu, Fenstermacher & Ricchardson (2005) menyatakan bahawa hanya contoh-contoh sikap dan nilai positif  daripada guru sahaja yang diperlukan dalam usaha mempengaruhi tingkah laku pelajar untuk mempamerkan tingkah laku yang terpuji.
Selain itu, personaliti seorang guru juga dapat dilihat dari segi kualiti peribadi yang merangkumi sensitiviti, kesungguhan dan perasaan tanggungjawab (Karom :2010). Selain itu, seseorang guru yang memiliki personaliti perlulah sentiasa bertenaga, berkeyakinan tinggi, kebolehan bekerja dengan orang ramai. Hal ini demikian kerana, bidang perguruan meliputi semua organisasi pentadbiran di sekolah, jadi sebagai seorang guru kita tidak boleh bekerja dengan kehendak hati sendiri. Guru juga mestilah mempunyai nilai komitmen yang tinggi dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Contohnya, guru boleh mengadakan kelas tambahan, membuat soalan latih tubi untuk pelajar, dan mengadakan program motivasi.
            Dari segi penampilan juga merupakan aspek yang sangat penting dalam membentuk personaliti seorang guru. Dalam aspek penampilan, guru mesti menekankan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri. (Melville & Cardinal 2000). Sebaliknya jika penampilan guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan keterlaluan akan menyebabkan tumpuan pelajar terganggu (Mok 2006). Jika sekiranya seseorang guru tidak mementingkan penampilan diri, pelajar akan beranggapan bahawa guru tersebut bersikap pemalas dan sekali gus tidak mencerminkan sifat seorang guru yang berkesan. Malahan ini akan menyebabkan pelajar akan berfikiran negatif terhadap gurunya dan memberi gambaran bahawa isi pelajaran  juga tidak berkualiti (Mok 2004). Kekemasan seseorang guru juga bukan sahaja mampu menarik minat pelajar tetapi ia memberi ketenangan kepada pelajar sekali gus mereka akan rasa ketenangan apabila melihat penampilan diri guru.
            Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri-ciri yang dapat mempamerkan nilai personaliti dalam diri seorang guru. Oleh itu, guru juga mestilah mengamalkan nilai-nilai yang positif supaya mampu memberi contoh yang terbaik kepada pelajar.


Monday 23 March 2015

Latar Belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Manjung

Logo Sekolah


Pengetua Cemerlang SMK. Seri Manjung: Puan Hajah Rosidah bt Abdul Shukor


Objektif SMK Seri Manjung

bulletMemupuk 17 nilai murni ke arah pembentukan murid-murid yang baik dan sempurna sahsiahnya.
 
bulletMeningkatkan tahap prestasi murid-murid sehingga 100% dalam bidang kurikulum, kokurikulum.
 
bulletMenerapkan semangat cinta terhadap sekolah, agama, bangsa dan negara.
 
bulletMelahirkan murid-murid yang berdisiplin dan bersatu-padu ke arah pembentukan insan yang cemerlang.
 
bulletMelahirkan muri-murid yang mempunyai wawasan dan berdaya kepimpinan ke arah mencapai kemajuan negara.
 
bulletMelahirkan murid-murid yang mampu memberikan sumbangan kepada sekolah, masyarakat dan negara.
 
bulletMemastikan pengurusan dan pentadbiran dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan.
 
bulletMenjadikan sekolah sentiasa dalam keadaan bersih, ceria dan selamat untuk menjamin kesejahteraan warga sekolah.


Hari pertama di SMK Seri Manjung

Pada 13.7.2014 merupakan tarikh amat mendebarkan hati apabila kali pertama melangkah ke sekolah SMK Seri Manjung untuk melaporkan diri sebagai seorang guru praktikal. Gembira, resah, takut , malu semuanya bersatu dalam diri saya. Berbekalkan sedikit kekuatan dan semangat dari keluarga dan kawan-kawan, saya gagahkan jua diri. Ketika sampai di sekolah, debaran saya semakin terasa apabila melihat pelajar-pelajar yang jumlahnya boleh dikatakan ramai.
  
Saya dan rakan sepaktikal yang lain terus menuju ke pejabat untuk berjumpa dengan pengetua sekolah dan guru penolong kanan. Walaupun agak lama kami menunggu kerana kedua-duanya begitu sibuk untuk menguruskan hal sekolah. Kami melangkah masuk ke bilik pengetua untuk terus melaporkan diri. Cikgu Roslina yang merupakan guru penolong kanan pentadbiran begitu ramah melayan kami. Kami diminta untuk perkenalkan diri masing-masing. Setelah siap sesi perkenalan, Cikgu Roslina menerangkan peraturan-peraturan sekolah kapada kami semua. Beliau sangat menitikberatkan soal etika pemakaian seorang guru kerana melalui etika pemakaian juga dapat menonjolkan diri kita sebagai seorang guru yang mementingkan penampilan. Beliau juga menyampaikan sedikit amanah dan dorongan kepada kami supaya menjadi seorang pendidik yang sabar dan tidak mudah melatah apabila berdepan dengan masalah.

Selepas itu, saya dan kawan-kawan diterangkan mengenai jadual waktu mengajar. Perasaan saya begitu berdebar-debar kerana memikirkan kelas yang bagaimana akan diamanakan untuk menyampaiakn ilmu pengetahuan. Mmemikirkan kelas-kelas yang terbelakang membuatkan hati semakin gusar kerana perasaan takut begitu menguasai diri. Setelah guru penolong kanan memberitahu jadual waktu kawan-kawan yang lain, kini tiba giliran saya. Saya telah diamanahkan untuk mengajar 3 buah kelas , iaitu 4SN2, 4K2 dan 4V2. Buat pengetahuan pembaca 4SN2 dan 4k2 merupakan kelas saya mengajar bahasa Melayu manakala 4V2 pula saya perlu mengajar Sivik dan Kewarganegaraan. Walaupun saya sedar, tanggungjawab yang diberikan amat berat, tetapi saya kuatkan semangat dan azam untuk memberikan yang terbaik kepada sekolah ini.

Tidak lupa saya kepada guru pembimbing yang bernama Halimatun Zahra. Guru pembimbing saya merupakan seorang yang baik namun tegas. Saya perkenalkan diri kepada beliau sebagai seorang guru pelatih di bawah pemantauan beliau. Saya dan rakan diterima baik malah sangat dialu-alukan di sekolah tersebut kerana sekolah tersebut kekurangan guru bahasa Melayu.Usai diterangkan mengenai tanggungjawab dab tugas masing-masing, kami diberi peluang untuk melihat sekitar sekolah dan mencari bilik darjah yang akan kami jadikan ia sebagai rumah kedua untuk 14 minggu yang akan datang. Keadaan sekolah yang sederhana keluasannya dan majoriti pelajarnya adalah pelajar Melayu membuatkan saya yakin bahawa sekolah ini merupakan sekolah yang terbaik kepada diri saya untuk menjalani latihan mengajar.