Personaliti
Guru
Guru yang berkesan
merupakan guru yang memiliki personaliti yang mampu membawa perubahan tingkah
laku pelajarnya. Kekuatan personaliti memainkan peranan yang penting kerana ia
dapat menarik perhatian pelajar. Personaliti yang menarik seperti peramah,
mempunyai kawalan emosi yang mantap, penampilan, ketekunan dan dedikasi dalam
melaksanakan tugas patut diamalkan oleh seseorang guru yang berkesan.
Personaliti merujuk kepada keperibadian atau sahsiah
diri. Perkataan personaliti adalah berasal daripada perkataan Latin yang
memberi erti pesona. Mishel (1968) mendefinisikan
personaliti sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu
yang dijelmakan kemudian dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Allport (1961)
berpendapat bahawa personaliti yang dinamik akan memberi ruang kepada perubahan
yang positif yang bergantung rapat dengan keadaan fizikal seseorang. Apabila
dikaitkan dengan Teori Tingkah Laku pula, personaliti seseorang merupakan hasil
daripada apa yang sudah dimulakan dan segala yang telah dialami dalam hidup.
Guru berkesan dapat dilihat apabila seseorang itu
memiliki personaliti yang paling banyak dikaitkan dengan pencapaian pelajar.
Abdul (2008) menyatakan bahawa Guru berkesan ialah pendidik yang baik dan mampu
memberikan kesan dari segi personaliti dan membawa perubahan kepada tingkah
laku kepada pelajarnya. Ciri personaliti yang biasanya dikaitkan dengan
pencapaian pelajar ialah kemesraan dan sikap memahami seseorang guru. Selain
ibu bapa, guru juga turut memainkan peranan dalam menjadi “role model” kepada
pelajar bagi membentuk keperibadian yang mulia. Oleh itu, Fenstermacher &
Ricchardson (2005) menyatakan bahawa hanya contoh-contoh sikap dan nilai
positif daripada guru sahaja yang
diperlukan dalam usaha mempengaruhi tingkah laku pelajar untuk mempamerkan
tingkah laku yang terpuji.
Selain itu, personaliti
seorang guru juga dapat dilihat dari segi kualiti peribadi yang merangkumi
sensitiviti, kesungguhan dan perasaan tanggungjawab (Karom :2010). Selain itu,
seseorang guru yang memiliki personaliti perlulah sentiasa bertenaga,
berkeyakinan tinggi, kebolehan bekerja dengan orang ramai. Hal ini demikian
kerana, bidang perguruan meliputi semua organisasi pentadbiran di sekolah, jadi
sebagai seorang guru kita tidak boleh bekerja dengan kehendak hati sendiri.
Guru juga mestilah mempunyai nilai komitmen yang tinggi dan melaksanakan tugas
dengan penuh dedikasi. Contohnya, guru boleh mengadakan kelas tambahan, membuat
soalan latih tubi untuk pelajar, dan mengadakan program motivasi.
Dari segi penampilan juga merupakan aspek yang sangat
penting dalam membentuk personaliti seorang guru. Dalam aspek penampilan, guru
mesti menekankan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan
dan kekemasan diri. (Melville & Cardinal 2000). Sebaliknya jika penampilan
guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan keterlaluan
akan menyebabkan tumpuan pelajar terganggu (Mok 2006). Jika sekiranya seseorang
guru tidak mementingkan penampilan diri, pelajar akan beranggapan bahawa guru
tersebut bersikap pemalas dan sekali gus tidak mencerminkan sifat seorang guru
yang berkesan. Malahan ini akan menyebabkan pelajar akan berfikiran negatif
terhadap gurunya dan memberi gambaran bahawa isi pelajaran juga tidak berkualiti (Mok 2004). Kekemasan
seseorang guru juga bukan sahaja mampu menarik minat pelajar tetapi ia memberi
ketenangan kepada pelajar sekali gus mereka akan rasa ketenangan apabila
melihat penampilan diri guru.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri-ciri yang dapat
mempamerkan nilai personaliti dalam diri seorang guru. Oleh itu, guru juga
mestilah mengamalkan nilai-nilai yang positif supaya mampu memberi contoh yang
terbaik kepada pelajar.